Oleh : Aimi Sani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Selasa, 10 Februari. - BIACC Trade & Logistics Expo 2026 menghimpunkan para pihak berkepentingan daripada keseluruhan ekosistem perdagangan dan logistik, termasuk agensi kerajaan, pengendali logistik, syarikat penerbangan, institusi kewangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta penyedia perkhidmatan sokongan berkaitan.
Ekspo yang berlangsung di Dewan BRIDEX, Jerudong selama dua hari iaitu pada 10 hingga 11 Februari 2026 itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku tetamu kehormat majlis.
Acara ini diposisikan sebagai platform industri yang berfokus untuk memperkukuhkan penyelarasan, kerjasama dan penglibatan praktikal dalam sektor perdagangan dan logistik.
Seiring dengan rantaian bekalan global yang semakin saling berkaitan, ekspo ini menyediakan ruang bagi para pihak berkepentingan untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman operasi serta meneroka penyelesaian terhadap cabaran bersama.
Sepanjang dua hari penganjuran, ekspo ini akan menampilkan siri dialog dan forum tematik yang disusun, merangkumi topik utama seperti kesalinghubungan logistik, e-Dagang dan perdagangan digital, masa depan modal insan logistik, logistik berteraskan kemampanan alam sekitar dan perspektif operasi merentasi rantaian bekalan.
Sesi-sesi ini direka untuk menggalakkan perbincangan berinformasi serta perkongsian pengalaman yang berasaskan konteks operasi sebenar.
Selain sesi dialog, ruang pameran akan menghimpunkan organisasi yang mewakili fungsi utama dalam ekosistem perdagangan dan logistik. Persekitaran ini akan menyokong interaksi yang lebih fokus dan penglibatan praktikal, membolehkan para peserta berhubung secara langsung, bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama dalam suasana yang lebih bermakna.
Melalui platform ini, BIACC Trade & Logistics Expo 2026 bertujuan untuk menggalakkan kerjasama industri yang lebih kukuh, mengetengahkan keupayaan perdagangan dan logistik Brunei, menyokong pembangunan PKS dan eksport, serta menyumbang kepada usaha nasional ke arah kepelbagaian ekonomi selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
BIACC Sdn. Bhd. merupakan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan di bawah Darussalam Assets Sdn. Bhd. Perniagaan terasnya adalah pengendalian darat kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di mana syarikat ini memainkan peranan penting dalam menyokong operasi serta kesalinghubungan kargo udara Negara Brunei Darussalam (NBD).
Terletak secara strategik di Asia Tenggara, BIACC berperanan sebagai penghubung antara pasaran kargo udara utama dunia, termasuk China, Amerika Syarikat, Eropah, Australasia dan rantau Asia secara keseluruhannya.
Syarikat ini menyediakan perkhidmatan pengendalian kargo udara dan pergudangan kepada syarikat penerbangan berjadual dan tidak berjadual, integrator serta pelbagai pelanggan seperti ejen penghantaran, perkhidmatan pos, kedutaan asing dan syarikat kurier.
BIACC melaksanakan keseluruhan operasi terminal dan gudang kargo, termasuk penerimaan kargo, dokumentasi, pembinaan dan pemecahan unit kargo, penyerahan kargo, penyelarasan pelepasan kastam serta pengendalian barangan berbahaya. Selain itu, BIACC turut mengurus operasi hab kargo bagi Royal Brunei Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Sebagai sebahagian daripada pembangunan strategiknya, BIACC telah memperluaskan kepentingan perniagaan dalam aktiviti logistik berkaitan di peringkat tempatan dan serantau, bagi menyokong keperluan logistik pelbagai industri.
Syarikat ini aktif mempromosikan perkhidmatan logistik pihak ketiga serta bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk mengenal pasti penyelesaian logistik yang praktikal dan menjimatkan kos.
Dengan memanfaatkan rangkaian logistik yang luas serta pengalaman bertahun-tahun dalam pengurusan logistik udara, BIACC menawarkan penyelesaian logistik menyeluruh dari hujung ke hujung dan terus membangunkan perkhidmatan baharu bagi meningkatkan daya saing serta nilai tambah kepada pelanggan.
Kekuatan utama BIACC terletak pada kepakaran teknikal, pengalaman operasi serta pengetahuan mendalam dalam pengendalian darat kargo udara dan pengurusan gudang, disokong oleh keupayaan menyediakan penyelesaian logistik bersepadu melalui udara, darat dan laut.
Syarikat ini memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan melalui pelaburan berterusan dalam latihan dan peningkatan keupayaan dalam pengurusan kualiti, kemahiran teknikal serta kemahiran insaniah. BIACC juga merupakan Pusat Latihan Diluluskan IATA (International Air Transport Association).
Dalam aspek keselamatan dan kualiti, BIACC merupakan Pengendali Kargo RA3 berdaftar serta antara syarikat model Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) di NBD. Syarikat ini menjalankan latihan dalaman secara berterusan melalui program TQM yang disokong oleh jurulatih TQM dalaman yang bertauliah.
BIACC memegang pelbagai pensijilan antarabangsa termasuk ISO 9001:2018 dan ISO 45001:2018, selain turut berdaftar dengan ISAGO serta menyertai Program Perkongsian Pengendalian Darat IATA, mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap keselamatan, kualiti dan amalan terbaik antarabangsa.